Sunday 11 November 2012

Ajak polis gusti



RAUB: Akibat tidak berpuas hati kerana kenderaannya dihon, seorang penagih bertindak luar dugaan apabila mengajak seorang pegawai polis bergusti di depan sebuah kedai serbaneka dekat sini, pada malam kelmarin.

Bagaimanapun, lagak samseng penagih berusia lingkungan 30-an itu mengundang padah apabila ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, pegawai polis berpangkat Cif Inspektor terbabit difahamkan memperlahankan kenderaan dipandunya kerana mahu mencari parkir di depan kedai serbaneka.

Pada masa sama, penagih terbabit yang berada dalam kenderaannya mengundur secara mengejut, hingga mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu hampir berlanggar.

Berikutan itu, pegawai polis terbabit membunyikan hon sebagai amaran berhati-hati, namun penagih itu tidak berpuas hati dengan tindakan pegawai berkenaan dan keluar dari kenderaannya.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Samsudin Wan Osman berkata, suspek yang disyaki berada di bawah pengaruh alkohol mengajak pegawai polis itu ‘bergusti’.

Bagaimanapun, katanya, pegawai terbabit cuba mengawal situasi keadaan dan dalam masa sama menghubungi Bilik Gerakan IPD untuk meminta bantuan.


“Sebaik menerima panggilan, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan mengepung suspek sebelum berlaku pergelutan berikutan penagih itu bertindak agresif dalam cubaan hendak melepaskan diri.

“Suspek berjaya ditahan beberapa minit kemudian dan hasil pemeriksaan, polis menemui serbuk mencurigakan dipercayai dadah milik suspek yang disahkan positif dadah sebelum dibawa ke Balai Polis Raub bersama dadah dan kenderaannya untuk membantu siasatan lanjut,”

katanya. Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama empat hari di Lokap Balai Polis Raub untuk membantu siasatan berhubung cubaan mencetuskan pergaduhan serta memiliki dadah.

#carigali

0 comments:

Post a Comment

 
;