KUALA LUMPUR: Penjaga gol bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che
Mat (Apek) terpaksa menyerahkan soal persiapan perkahwinannya dengan Nur
Eilunie Natasha Nazri (Leuniey) Disember depan kepada pengurusnya.
Ini semua gara-gara persiapan yang lebih penting yang perlu diberikan keutamaan iaitu Piala AFF Suzuki.
Apek,
23, yang kini sedang menjalani latihan pusat bersama skuad kebangsaan
berkata, keutamaannya pada waktu ini adalah memberikan tumpuan kepada
persiapan Kejuaraan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2012 yang akan
berlangsung dari 24 November hingga 22 Disember ini.
"Saya tidak
mahu fikir apa-apa (tentang persiapan perkahwinan) buat masa ini. Fokus
saya adalah bola (persiapan Piala AFF Suzuki). Perkara lain
(perkahwinan) diuruskan pengurus saya.
"Tunggu nanti, saya akan
umumkan pada sidang media. Selepas Piala AFF baru saya boleh fikir
mengenai perkahwinan," katanya secara ringkas kepada mStar Online.
Penjaga
gol skuad Kelantan itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis
pelancaran 'Koleksi Ratu by Ezuwan Ismail' di sini, baru-baru ini.
Apek
dan Leuniey mula menjalin hubungan selepas mereka berkenalan ketika
terlibat dalam iklan minyak wangi 'SimplySiti Eau De Parfum' milik
penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, awal tahun ini.
Ditanya mengenai hasrat berkahwin pada usia muda, Apek berkata, jodoh adalah ketentuan Allah.
"Urusan
jodoh adalah rahsia dan ketetapan Allah. Jika sudah ditentukan saya
bertemu jodoh pada usia muda takkan saya hendak lawan atau tolak takdir?
"Apa
pun, saya kena bersedia untuk menjadi suami," katanya yang mengakui
mula menyesuaikan diri dengan tekanan kontroversi dan buruan media.
Sementara
itu, Leuniey pula berkata, sebagai pihak perempuan dia lebih selesa
berdiam diri dan menyerahkan soal jawab berhubung majlis perkahwinan itu
kepada Apek.
"Saya tidak boleh beri apa-apa komen. Kurang manis sebab saya perempuan, biarlah Apek umumkan pada sidang media nanti.
"Alhamdulillah persiapan ke arah itu (perkahwinan) berjalan lancar secara ringkas tetapi lengkap," katanya.
Mengenai
keputusan untuk bersuamikan Apek yang baru dikenalinya, Leuniey
berkata, usia dan tempoh perkenalan tidak menjadi isu kerana kematangan
seseorang yang lebih utama.
"Dia (Apek) matang daripada usianya.
Dia faham kesibukan saya sebagai usahawan dan tidak pernah memaksa atau
mencari di mana saya berada ketika bekerja.
"Pendek kata,
kepercayaan antara kami yang memberikan keyakinan untuk saya
menerimanya. Lagi pun, dia seorang lelaki yang menghormati ibu bapa dan
keluarga saya," katanya.
Sebelum ini, akhbar melaporkan bapa Apek
iaitu Che Mat Hussain berkata, pasangan itu dijangka melangsungkan
perkahwinan mereka pada 28 Disember depan atau Januari 2013.@mstar
online