Monday 12 November 2012

Gadis dinoda rakan sekerja


GOMBAK: Seorang wanita membuat laporan polis selepas anak gadisnya mendakwa telah menjadi mangsa tindakan rakus rakan sekerja yang merogolnya di tempat kerja.
Difahamkan, gadis yang baru berusia 19 tahun itu mendakwa diperkosa tiga lelaki dipercayai warga asing di tempat kerjanya di pasar raya di Selayang, pada bulan lalu.
Ibu mangsa yang terkejut mendengar pengakuan anak perempuannya itu tampil membuat laporan di balai polis berhampiran pada petang kelmarin.
Sumber berkata, mangsa mendakwa diperkosa tiga lelaki yang juga rakan sekerjanya itu secara bergilir-gilir ketika mereka bekerja di pasar raya berkenaan.
“Mangsa mendakwa dibawa ketiga-tiga lelaki terbabit ke sebuah bilik sebelum dia diperkosa bergilir-gilir. Kejadian itu dipercayai berlaku dua kali pada bulan lalu.
“Akibat kejadian itu, mangsa dikatakan trauma dan takut untuk ke tempat kerjanya. Pada awalnya mangsa memberitahu ibunya dia mahu berhenti kerja,”
katanya.
Menurut sumber, si ibu yang kehairanan dengan permintaan anaknya itu bertanyakan mengenai sebab mahu berhenti kerja sebelum anaknya menceritakan apa yang berlaku.
Berikutan itu, ibu mangsa tampil membuat laporan polis dan mengharapkan tindakan selanjutnya dari pihak berkuasa.
Difahamkan, seorang suspek ditahan reman dan dua lagi suspek dikatakan melarikan diri. Polis giat memburu dua lagi suspek bagi membantu siasatan kes itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan mengesahkan menerima laporan berkenaan.

0 comments:

Post a Comment

 
;