Monday, 12 November 2012

Yang Penting Saya Tak Berbogel-Lana Nordin


PELAKON yang dikenali dengan jolokan Pamela Anderson Malaysia, Lana Nordin tidak merasakan dieksploitasi oleh pengarah, Afdlin Shauki dalam filem terbaru lakonannya, Pontianak vs Orang Minyak.

Menurut Lana, dia juga tidak merasakan diaibkan oleh Afdlin, apabila terdapat babak mempunyai dialog yang agak keterlaluan dan baju yang dipakai menampakkan bentuk tubuhnya.

"Ketika mula-mula mendapat skrip dan baju, saya sudah berkali-kali bertanya kepada Afdlin, lepaskah babak tersebut pada Lembaga Penapisan Filem (LPF). Jadi bila sudah ditayangkan (lulus LPF), saya berharap ia bukan isu besar.

"Saya juga percaya Afdlin tiada niat untuk mengaibkan saya kerana sejak awal lagi, dia sudah terangkan kepada saya.

Tapi jika benar Afdlin ingin mempergunakan diri saya, saya anggap ini 'win-win situation', kerana saya juga mempergunakan tawaran ini untuk menonjolkan watak saya sebagai pelakon komedi buat pertama kalinya," katanya yang ditemui selepas pratonton filem berkenaan.

Ditanya tidak bimbangkah andai babak dan dialog tersebut bakal mencetuskan kontroversi, Lana berkata, dia hanya menganggap perkara tersebut sebagai satu jenaka dan sudah lali dengan kontroversi yang menimpa dirinya.

"Sejak awal kemunculan saya, saya sudah diberikan jolokan macam-macam dan saya dah lali dengan hal-hal sebegitu (hal kontroversi). Sebenarnya terpulanglah bagaimana orang mahu menilai babak dan dialog tersebut.

Apa yang penting, saya tak bodoh sampai nak berbogel,” jelasnya.

Lana berkata, apa yang penting, setiap perkara yang dilakukan sudah dimaklumkan kepada keluarganya terlebih dahulu.

"Sebelum memulakan penggambaran, saya sudah hantar gambar baju itu kepada ibu saya untuk mendapatkan pandangannya. Mak saya ada menegur, tapi selepas saya terangkan, dia tidak berkata apa-apa," katanya.

Cuba pelbagai watak

Berkongsi pengalamannya berlakon sebagai Ruminah dalam filem berkenaan, Lana mengakui, berlakon filem komedi memberi cabaran dan pengalaman yang berbeza buatnya.

"Walaupun babak saya menjadi separa hantu sudah sampai ke hujung filem, tetapi 'latex' tersebut memberi kesan terhadap kulit saya sehingga kulit saya rosak akibat cecair tersebut panas dan mengeluarkan bau yang busuk.

"Tapi, dalam masa yang sama, saya seronok dapat terlibat dalam filem komedi kerana memang sudah lama saya mengimpikan untuk berlakon dalam naskhah komedi.

"Saya mahu cuba pelbagai watak dan jadi pelakon yang versatil. Saya tak mahu orang asyik label saya sebagai pelakon yang membawa watak penggoda dan jahat sahaja," katanya.

Menyentuh tentang perkembangan kariernya, Lana berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri KL Drift. Manakala filem lakonannya, ‘Lagenda Budak Setan 2’ dan ‘Tokan’ akan ditayangkan tidak lama lagi.

Rancang berkahwin?

Tidak lengkap mendekati wanita yang sudah berusia 33 tahun ini andai tidak menyentuh tentang kekasihnya yang bernama Parvel.

Enggan lagi berselindung seperti sebelum ini, Lana mengakui sudah membawa jejaka yang berasal dari Republik Czech berjumpa dengan keluarganya pada Ramadan lalu.

"Saya bawa dia berjumpa keluarga untuk memperkenalkan dia kepada agama, adat dan budaya kita. Saya tidak mahu memaksa dia memeluk Islam, tetapi mahu dia sendiri jatuh cinta dengan Islam dan budaya kita.

"Malah, saya juga sudah beberapa kali berhubung dengan keluarganya melalui Skype. Jika tiada aral melintang, saya akan berjumpa dengan keluarganya tahun depan," ujarnya.

Ditanya mengenai perancangan untuk mendirikan rumah tangga, Lana berkata, dia masih belum memikirkan hal untuk mendirikan rumah tangga, apatah lagi kekasihnya yang berusia 24 tahun itu sedang sibuk membina kerjaya dalam bidang peragaan di Manila.

"Dulu ketika berusia 28 tahun, memang saya ada 'target' untuk berkahwin sebelum 30 tahun. Tapi bila sudah melebih 30 tahun, saya tidak lagi rasa terkejar-kejar untuk berkahwin.

Jika sudah sampai serunya, saya pasti akan berkahwin juga nanti," katanya.

#carigali

0 comments:

Post a Comment

 
;