Sunday, 11 November 2012

Dia bukan untuk saya dan anak-anak, kata Rita Rudaini




KEMELUT rumah tangga aktres cantik, Rita Rudaini masih belum menunjukkan jalan penyelesaian terbaik.

Walaupun pelakon drama Ameera ini telah berjaya membatalkan permohonan kembali taat (nusyuz) yang dikemukakan suaminya, Aidil Zafuan Abd Razak, 25, namun kata sepakat masih lagi belum dicapai.

Ramai yang mula berteka-teki, adakah hubungan ini mampu diselamatkan, walhal segala permohonan telahpun dibuat.

Sungguhpun keputusan masih samar, Rita tetap melahirkan rasa syukur apabila satu persatu tuntutan yang dikemukakan Aidil berjaya dibatalkan dengan keputusan muktamad daripada Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.


“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan keputusan mahkamah dalam kes bantahan ini tanpa penangguhan walaupun Aidil tidak hadir.

“Saya akan terus mempertahankan diri dan hak jagaan (hadanah) saya terhadap anak-anak. Saya tidak akan menoleh ke belakang lagi kerana perkara ini sudah menjadi kes mahkamah.

“Saya juga menghadiri perbincangan sulh dan peguam saya akan selesaikan status perhubungan kami pula selepas ini,”

kata ibu kepada Aidit Rayyan Rizqin, 3, dan Airit Raffqa Arjuna, 18 bulan.

Permohonan nusyuz yang difailkan Aidil pada 15 Mei itu ditolak akibat kesilapan pada alamat pemastautin yang tidak lengkap dan bantahan Rita pada 3 Julai lalu diluluskan.

Aidil yang gagal hadir di mahkamah ketika keputusan diumumkan kerana berada di Bangkok, mewakili negara dalam perlawanan persahabatan dengan Thailand juga turut diperintahkan membayar semua kos mahkamah.

Teruskan kes

Walaupun berjaya mendapat kredit kemenangan dalam bantahan permohonan itu, bukan bererti Rita boleh menarik nafas lega dan menganggap segalanya sudah selesai.

Katanya, banyak perkara lagi yang harus diteruskan untuk membincangkan masalah yang masih belum mencapai kata putus.

“Saya akan meneruskan kes cerai ini kerana ia masih belum selesai. Apa jua cadangan yang diputuskan oleh peguam selepas ini, saya akan ikut.

“Tunggu sahajalah keputusannya nanti,” kata Rita yang sudah tawar hati dengan sikap Aidil.

Pertahankan anak

Reda menerima apa jua ketentuan dari-Nya dalam hubungan rumah tangga, Rita berjanji tidak akan sesekali mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ibu kepada dua puteranya.

Menganggap segala yang berlaku ada sebab musababnya, dia teguh diuji sebagai manusia biasa.

Apa yang penting, kehidupannya kini hanya untuk anak-anak dan maruah diri.

“Mungkin dia bukan untuk saya dan anak-anak.” Itulah prinsip yang dipegang Rita untuk mengubati lara di hati akibat tindakan suaminya itu.

“Biarlah apa orang nak kata, saya hanya mahukan hak saya. Memang sukar berhadapan dengan situasi ini kerana saya terpaksa naik turun mahkamah selagi ia masih belum selesai.

“Namun, itulah jalan terbaik untuk kami. Berpisah atau tidak, saya tetap ibu kepada anak-anak saya,” katanya yang bakal muncul dalam telemovie, Anak Lorong.

Rita dan Aidil bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga pihak lelaki.

Pergolakan rumah tangganya semakin runcing apabila Aidil bertindak keluar dari rumah mereka di Damansara, Januari lalu ketika Rita dan anak-anak pulang ke kampung halamannya di Perlis.


#carigali

0 comments:

Post a Comment

 
;