Saturday 10 November 2012

Trend Duit Hantaran Tinggi Penuh Materialistik


"Wang hantaran anak si polan di kampung sebelah RM15,000, bukannya pengantin perempuan tu cantik pun, tidak pula berpendidikan tinggi. Khabarnya cuma duduk di rumah, sesekali membantu ibunya berniaga kuih," katanya seorang tetamu.

Apa peliknya? Itu antara kisah wang hantaran tinggi yang biasa kita dengar. Ada kalangan mereka itu bukanlah selebriti dan anak orang kaya, tetapi wang hantaran amat mahal boleh buat kita 'menepuk dahi'.

Kebanyakan ibu bapa dan bakal pengantin zaman ini meletakkan wang hantaran berpuluh-puluh ribu. Persoalannya adakah mereka ingin mengikut trend atau ingin menjual anak?

Tidak kurang ada menetapkan wang hantaran berdasarkan latar belakang pendidikan, paras wajah dan status keluarga bakal pengantin perempuan. Jika selebriti atau anak orang kaya, isu hantaran mahal sudah menjadi perkara biasa.

Bagaimana pula bagi orang kebanyakan. Kerana terlalu bersifat materialistik, ada lelaki terpaksa gigit jari kerana tidak mampu sedia wang hantaran dan mas kahwin atau terpaksa melewatkan tarikh perkahwinan.


Dalam aspek lain, disebabkan ibu bapa demand tinggi, mereka sanggup biarkan anak jadi anak dara tua atau andartu. Tidak mustahil ramai lelaki gusar dengan isu nikah kahwin. Sebilangannya atas desakan kekasih hati, si jejaka terpaksa membuat pinjaman daripada sumber tentu atau kerana sayang, si dara sanggup berkongsi belanja wang hantaran dan majlis gilang-gemilang.

Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Kariah Jabatan Agama Islam Wilayah, Mohd Radhi Abdul Ghani, berkata majlis perkahwinan sekarang agak tersasar tujuan asalnya dan terang-terangan menyalahi sunnah Nabi.

Katanya, apabila majlis perkahwinan dalam keadaan gah, mula terbit perasaan bangga, hebat dan riak pada keluarga pasangan berkenaan sekali gus fokus perkahwinan itu sudah tiada.

Memang tidak salah bagi mereka berkemampuan melakukannya, tetapi ia sudah melebihi daripada keperluan.

"Memang semula jadi sifat manusia bila cuba melakukan sesuatu, biarlah lebih daripada orang lain.

Matlamat asal perkahwinan inginkan keberkatan bertukar kepada bermegahmegah. Kesederhanaan tidak dipraktikkan.

"Perkahwinan seharusnya tidak membebankan pasangan dalam menyediakan mas kahwin dan wang hantaran. Biarlah ia munasabah dan pihak lelaki selesa dengan permintaan daripada pihak perempuan,"katanya.

Katanya, mas kahwin tidak semestinya wang ringgit, ia boleh ditukar dengan al-Quran.

"Sepotong ayat al-Quran atau hadis boleh dijadikan panduan sebagai mas kahwin. Namun, sekarang wang ringgit sebagai mas kahwin.

Wang hantaran terpulang kepada budi bicara kedua-dua pihak kerana tidak ada garis panduan menetapkan jumlah tertentu, cuma mas kahwin mengikut negeri," katanya.

Kaunselor Berdaftar yang juga Pensyarah Psikologi dan Pendidikan Universiti Malaya (UM), Hushim Salleh, pula menyifatkan pengaruh persekitaran menyebabkan wang hantaran pada zaman ini terlalu tinggi.

Ibu bapa lebih bersikap individualistik dan materialistik kerana terlalu risau apa orang kata mengenai wang hantaran dan keseluruhan majlis perkahwinan berbanding memikirkan kemungkinan hal bakal ditanggung anak menantu.

"Ungkit-mengungkit juga boleh berlaku sehingga hubungan menjadi retak.

Lebih parah sebab wang hantaran boleh mencetuskan perceraian," katanya.

Bersederhana dituntut Islam, namun jika hantaran tinggi, ia memberikan perspektif berbeza dan seharusnya bukan mahu menunjuk-nunjuk.

"Jangan terlalu mengikut perasaan. Bersederhana digalakkan. Selepas berkahwin mereka laksanakan banyak tanggungjawab dan keperluan membina keluarga," katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Maamor Osman, berkata jumlah wang hantaran tidak wajar dikawal sebaliknya setiap pasangan dan ibu bapa perlu mengukur dari segi kemampuan untuk mengelak masalah kemudian hari.

Katanya, jumlah hantaran tidak menjadi penghalang jika pihak lelaki benar-benar ikhlas dan ingin mengahwini wanita idaman mereka.

"Ibu bapanya perlu mengutamakan hukum dan mengikut syariah agama. Mengapa perlu mahu berbangga dengan jumlah hantaran yang tidak munasabah seperti menjual anak.DalamIslam, mas kahwin diwajibkan, manakala wang hantaran cuma adat," katanya.



#carigali

0 comments:

Post a Comment

 
;