Tuesday, 13 November 2012
Kalau Saya Nak Tampar, Saya Tampar Terus
“Kalau saya nak tampar orang itu, saya tampar terus. Inilah perumpamaan bahawa apa yang saya cakap, saya akan buat.”
Demikian kata-kata Zed Zaidi ketika menggambarkan ketegasannya dalam melaksanakan penguatkuasaan terhadap seluruh artis di Malaysia.
Dengan nada seperti ahli politik (Zed akui memang dia dah dapat tawaran untuk bertanding, tapi dia belum bersedia), Zed menyatakan satu gerakan tegas akan diadakan pada tahun hadapan bagi memastikan hanya artis yang berdaftar di bawah Seniman sahaja yang boleh bekerja.
Tambah Zed lagi, dia mahu mendidik semua artis-artis di Malaysia ini agar tahu bagaimana menguruskan diri di dalam industri dan penekanan yang paling utama ialah pendaftaran mereka di bawah Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).
“Kami akan bagi amaran terlebih dahulu kepada semua artis, daftar dulu di bawah Seniman, tidak kisahlah sama ada artis luar ataupun dalam negara sendiri.
“Kalau degil juga, kami akan buat serbuan mengejut. Mana-mana artis atau produksi yang tidak berdaftar di bawah Persatuan Pekerja Professional Filem Malaysia (Profima), Seniman ataupun Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), kami akan hentikan penggambaran mereka.
“Untuk melaksanakan perkara ini, Seniman akan bekerjasama dengan stesen televisyen, imigresen, tentera dan pelbagai lagi badan bagi memastikan perkara ini dilaksanakan dengan tegas,” katanya bersungguh ketika ditemui selepas majlis Seniman Prihatin Charity Gala yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Memang hebat dan besar perancangan Zed. Niat Zed adalah untuk melahirkan artis berkualiti namun dalam masa yang sama tidak dapat dinafikan, sebaik sahaja dia melakukan gerak tempur pada tahun hadapan, pasti akan ada pihak ‘pembangkang’.
Apa yang penting, Zed Zaidi sendiri perlu bijak mengatur langkah dan strategi agar tindakan yang disifatkannya sebagai keras ini tidak merosakkan industri itu sendiri.– Info Artis
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment