Wednesday 28 November 2012

Kerja gila.HarimauMalaya turun tanpa Mat Yo berdepan Laos ??



Malaysia  berdepan laluan berliku pada perlawanan kedua Kumpulan B Piala AFF Suzuki menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok selepas penyerang Norshahrul Idlan Talaha disahkan mengalami jangkitan kuman di telinga.
Ketika mengesahkan perkara itu, Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya Datuk K.Rajagobal berkata, beliau tidak pasti sama ada mampu menurunkan penerima anugerah pemain paling bernilai tiga tahun berturut-turut tersebut pada perlawanan menentang Laos.

"Memang benar (Mat Yo) mengalami masalah kesihatan, dan saya tidak pasti sama ada dapat menurunkan beliau atau tidak, pada perlawanan esok.
"(Bagaimanapun), saya akan mendapatkan pengesahan daripada doktor pakar yang merawat beliau terlebih dahulu pada malam ini untuk mengetahui sama ada beliau boleh beraksi atau tidak," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM Kelana Jaya hari ini.
Malaysia, yang sebelum ini diaibkan 0-3 oleh Singapura pada perlawanan pembukaan Ahad lepas, perlu mencatat kemenangan dalam dua perlawanan berikutnya iaitu Laos esok dan Indonesia, Sabtu ini bagi mencerahkan peluang ke separuh akhir.
Mengulas pemain yang bakal menggantikan tempat Norshahrul jika tidak boleh beraksi esok, Rajagobal berkata beliau akan menamakan pengganti sebelum sepak mula perlawanan itu.
"Saya masih tetap menaruh harapan supaya Mat Yo mampu pulih sebelum perlawanan pada malam esok," katanya.
Sementara itu, penyerang skuad kebangsaan Mohd Safee Mohd Sali berkata, beliau berharap pengganti Norshahrul mampu membantunya mencipta peluang untuk merobek gawang Laos esok.
"Ketiadaan Mat Yo dalam perlawanan esok mungkin merencatkan bahagian serangan skuad kebangsaan, tapi saya masih yakin bahawa semua pemain telah bersedia untuk memberikan persembahan terbaik," katanya.
Penyerang Pelita Jaya itu turut bertekad menjaringkan gol dalam Piala AFF kali ini selepas kali terakhir berbuat demikian ialah ketika aksi persahabatan menentang Hong Kong pada 14 November lepas di Stadium Shah Alam.
Pandangan Mohd Safee itu turut dikongsi kapten skuad kebangsaan Safiq Rahim yang melaungkan keyakinan bahawa peluang mereka ke separuh akhir kejohanan masih belum tertutup sepenuhnya.
"Kita belajar daripada kesilapan di atas kekalahan (0-3 kepada Singapura) itu, dan saya menyeru rakan sepasukan untuk mempamerkan persembahan terbaik pada malam esok untuk memungut tiga mata.
"Sekiranya kita beraksi dengan cemerlang pada malam esok, Insya-ALLAH, kita akan meraih keputusan positif," katanya. - Bernama

Jangan Lupa Like CeritaBaek dan Share di FB | Follow @ceritabaek :)

0 comments:

Post a Comment

 
;